Halwa Telinga


11/26/2009

أنوار الفطنة تبدد ظلمات الفتنة 5

التقوي في الغضب الهاجم
Perlu bertaqwa ketika Marah Memuncak

  1. Talq Bin Habib pernah berkata ketika dia melihat berlakunya fitnah : Bentengilah dirimu dengan taqwa yakni tidak akan berkata kecuali yang benar sahaja. إتقوها بالتقوى
  2. Bakr Bin Ubaidillah Al Muzanni berpesan kepada mereka yang ingin memiliki kualiti akhlak yang tinggi : Seseorang itu tidak akan menjadi seorang yang benar- benar bertaqwa sehinggalah dia bertaqwa dalam permakanan dan kawalan marahnya
  3. Para duat amat perlu memiliki tahap kawalan marah yang tinggi dan hanya kerana Allah dan cubalah mencontohi Imam Ahmad Bin Hanbal yang hanya akan marah kerana Allah dan tidak kerana dirinya dan tidak akan memenangkan dirinya. Jika ianya berkaitan agama, dia akan menjadi tersangat marah sehingga dilihat bukan seperti Imam Ahmad yang biasa dikenali
  4. Bentuk kawalan ini dapat dilihat melalui keupayaan mengekang lidah daripada mengungkap apa sahaja tanpa perkiraan agar dia tidak tersalah menuduh orang tak bersalah atau berhujjah dengan sandaran yang rapuh dan bersifat sangkaan kosong atau memperkecilkan keupayaan dan kefahaman orang lain hinggalah..... ramai orang yang baik akan terluka dan terasa terhina. Oleh itu pengalaman mengajarkan keperluan memilih kata- kata yang baik dalam berbicara dan berhati- hati ketika berhujjah... itulah insan yang wara'. Jarang juga kita temui orang menggunakan tangan dan kaki untuk menyakiti orang lain. Cukup sekadar berbahasa secara kesat dan bermegah- megah, sudah memadai untuk melukakan orang lain.
  5. Omar Bin Al Khattab pernah berkata : Jangan kamu terpesona dengan ucapan yang berdegang- degang, tetapi sesiapa yang mampu menunaikan amanah dan mengelak daripada memperihalkan maruah orang lain, itulah sebenarnya orang yang hebat.
  6. Yunus Bin 'Ubaid pernah berkata : Kamu akan tahu kewarakan seseorang itu melalui tutur katanya dan akhirnya Rasul pernah berkata " Muslim sebenar ialah muslim yang tidak menyakiti muslim lain melalui tutur kata dan tindakan tangannya.
  7. Untuk itu , tingkatkan kewarakanmu melalui pemilihan kata- kata yang baik ketika berbicara, hormatilah orang lain dan berfikirlah secara waras ketika marah

11/25/2009

أنوار الفطنة تبدد ظلمات الفتنة 4

تغليب نفسية التغافر
Dominasi Jiwa Pemaaf
  1. Ibnu Sammak, pembimbing Khalifah Harun Al Rasyid, pada satu ketika telah berselisih pendapat dengan kawannya yang menyebabkan mereka telah bertemu untuk " menyelesaikannya". Ditakdirkan pertemuan itu belum memuaskan hati kawannya dan perlu disambung ke esokan harinya. Kawannya berkata mengancam: Esok kita sambung dan selesaikan betul- betul. Aku masih tak puas hati.... tetapi Ibnu Sammak yang arif tentang jiwa manusia dan sedih melihat perpecahan terus berlaku, telah menjawab: Tak pe, eloklah esok kita saling bermaafan dan mencari jalan penyelesaian yang baik.
  2. Sepatutnya ketika bersalaman, jiwa mukmin itu sentiasa mendoakan agar dirinya dan saudaranya itu diampunkan Ilahi....dan sebenarnya, di benak hatinya dia berkata: aku telah memaafkan kekasaranmu terhadapku ... kerana berterusan menyimpan dendam dan amarah pasti mengundang terbitnya berbagai fitnah lain di samping menyimbah minyak ke atas api fitnah sedia ada.
  3. Daripada berterusan menggunungkan api permusuhan, membenci saudara seagama dan melebal busuk, buruk, huduh, tak asolah... bla bla bla... ikut mu Lah... sedangkan memaaf, berlapang dada dan mengiktiraf ada juga kebaikan pada orang lain itu lebih awla dan lebih dekat kepada hatibudi mukmin إن التغافر خير SALING MEMAAF ITU LEBIH BAIK
  4. Kalau diselidiki sejarah berundurnya sesetengah duat dari medan juang jamaie, seringkali sebabnya merujuk kepada : 1. Keterlanjuran kata- kata atau kesilapan tindak tanduk yang tidak diberi ruang maaf, sedangkan kemaafan itu amat mudah diberikan atau 2. Sangkaan- sangkaan berlaku ketidak adilan atau kecuaian terhadap dirinya tanpa ada usaha untuk bertanya, merisik khabar sebenar, memahami situasi semasa atau meminta justifikasi atas apa yang berlaku..
  5. Jika kerumitan ini diselesaikan dengan bahasa yang lunak dan tidak berapi-api, pasti ianya membuahkan hasil yang disenangi dan dia pasti diingati sebagai insan yang mulia, tinggi budi bahasa dan baik tuturkata. Seorang penyair mengungkapkan penghargaannya terhadap teman yang menegur kesilapannya :Engkau telah menegur membetulkan kesilapanku tetapi betulkah engkau menegurku? Bahasamu amat lunak dan berhemah hingga aku keliru, adakah itu teguran atau ungkapan galakan dan ransangan kekuatan
  6. Ianya menjadi lebih baik jika proses teguran dan pembaikan itu dimulai dengan bukaan ruang untuk menyatakan sebab dan alasan sehingga dia amat yakin majlis itu sebenarnya bukanlah episod menghentam dan membelasah, tetapi satu majlis indah yang penuh dengan kasih sayang dan ruang lebar untuk kemaafan hingga... tiada ruang langsung untuk syaitan menyelit dan menyeludup masuk jarum domba dan godaan jahatnya, tiada rasa langsung dia akan dipulau atau disisihkan.
  7. Seterusnya ianya semakin harmonis dan imani jika akhirnya disudahi dengan senyuman dan ungkapan- ungkapan penyelesaian yang mesra dan menggembirakan... tujuan utama segalanya adalah kemaslahatan dakwah dan Islam, kesilapan itu seringkali berlaku dari sesiapapun: dia atau dia ataupun dia
  8. Inilah sebenarnya ukhuwwah Islamiah yang mendasari perhubungan penggerak dakwah.. alangkah indahnya bahtera ini, dihuni oleh hati- hati yang mulia, tiada bangga diri dan melihat orang lain kecil dan jahil. Kesediaan memberi kemaafan atau mendengar penghujahan atau ungkapan penyesalan amat mendasari sikap dan amalan penumpang bahtera ini kerana DIA itu amat Pengasih dan Pemaaf . Kenapa ini berlaku...? Bagiku kerana mereka ini adalah BERLIAN, tetapi ... sesiapa yang enggan berbudi seperti mereka ini... silalah terjun ke laut dalam ( banyak jerung menunggumu) atau kita campakkan sahaja ke laut, buat onar je atas kapal ini.... takpe, mereka pandai berenang, banyak perahu kecil di sekitar
tamat... dan menunggumu Nur ke 5 : Lazimi Taqwa Ketika Marah Menggunung Tinggi

انوار الفطنة تبدد ظلمات الفتنة 3-2


sambungan...
  1. Khalifah Omar Bin Abd Aziz mengarahkan pembantunya , Muzahim agar sentiasa memerhatikan tingkahlaku dan tutur katanya, mana yang tak kene dan tak sesuai, baikilah atau halanglah ia daripada berterusan begitu.
  2. Maimun Bin Mahraan pernah berkata kepada sekumpulan sahabatnya : Beritahulah aku sesuatu yang kamu jangka aku tidak suka mengetahuinya kerana seorang sahabat itu sebenarnya belum lagi menasihati saudaranya sehinggalah dia menegur berdepan sesuatu yang sahabatnya tidak suka mengetahuinya.
  3. Atau .... engkau telah membiarkan berlonggoknya timbunan keaibannya. Segeralah mengesan bibit- bibit fitnah dengan keikhlasan dan kesediaan yang tinggi untuk mendengar dan menerima teguran sayang daripada sahabatmu... kerana sahabat sebenar ialah mereka yang enggan membenarkan saudaranya berterusan menggunungkan aib dan noda.
  4. Nanti... akhirnya fitnah akan lenyap dan lunyai... dan mereka yang berpegang kepada kebenaran dan syar'ieyyah ( yg berotoriti) akan beroleh ganjaran lumayan... itulah yang kita fahami dan genggami .. tamat
* Nur 1 : Isti'azah, Nur 2: Ikhlas, Nur 3: Saling Menasihati

Salam Eid Adha


Salam Eid Al Adha kuucapkan buat semua, semua sekali, belako, semoga semuanya diampunkanNya. jangan lupa Puasa Arafah esok, Khamis. Kullu 'Aamin Wa Antum Bi Khair

Selamat Hari Lahir

Muhammad Aiman ( umur belum setahun)

Gambar terkini

Selamat Hari Lahir Untuk Muhammad Aiman (27 Nov 2003) dan....



Ahmad Hasanain ( 28 Nov 1996). Semoga berjaya di dunia dan akhirat

ما كان أبوك امرأ سوء وماكانت أمك بغيا

Aku dan kembarku....?

يا أخت هارون ما كان أبوك امرأ سوء وماكانت أمك بغيا

Hai saudara perempuan Harun: ayahmu sekali-kali bukanlah seorang yang jahat dan ibumu sekali-kali bukanlah seorang pezina", surah Maryam ayat 28


Aku sedang menyediakan draf tentang isu ini.... semoga yang keluar nanti sesuatu yg baik.. untuk anak- anak berlianku

11/23/2009

Warga Berlian di USIM


Kelmarin/ isnin aku bersama sekumpulan teman berceramah di USIM: Konvensyen Pendakwah Muda. Terkumpul di sana ramai anak muda yang nak jadi daie, rasaku. Kami sepakat mengistilahkan mereka sebagai anak- anak berlian kerana harganya yang pasti mahal dan tinggi kerana ia berkualiti dan sudah melalui proses pencanaian yang dahsyat. Mereka bak berlian kerana brillian, mampu menongkah arus perubahan dan seringkali mendepani proses tahgyir.

Kita semua bertanggungjawab melakukan proses pencanaian ini. Mereka sedia diperlakukan apa sahaja kalau mereka mempercayai kita. Anak- anak itu baik, kita perlu membimbing dengan baik... aku amat yakin... mereka amat baik, bersedia dan mudah diatur... cuma kita sahaja, adakah kita bersedia bergelumang dengan mereka

Ingatlah sahabatku, mereka itu berlian.... kalau kau memperolehinya... lakukanlah apa sahaja, mereka sanggup berada di barisan hadapan. "Takpe pakcik.. pakcik kat belakang pun takpe, biar kami yang buat....

Untuk kesekian kalinya kukatakan, kalau kau berniaga dengan mereka, kau tak akan rugi.
تجارة لن تبور

11/20/2009

Kesah Menarik


Aku sekarang di Langkawi, bersama tetamu drp Jeddah atas urusan kerja. Sewaktu di Subang tadi, sebelum berangkat naik kapalterbang berkipas... temanku memerihalkan satu kesah yang menarik, ingin kukongsikan denganmu....

Seorang alim besar namanya Ibn El Baqalany, penulis kitab 'E'jazul Quran ( yang hidup di zaman Abbasy) telah dihantar oleh seorang khalifah Abbasy ke Rome untuk berdebat dengan paderi kristian di sana demi menjelaskan kebenaran Islam.

Bila beliau sampai di sana, secara sengaja mereka merancang tempat pertemuan perdebatan itu memerlukan beliau terpaksa tunduk untuk masuk bertemu sekumpulan paderi itu ( seperti laluan masuk yang rendah memaksa beliau tunduk: seolah-olah beliau terpaksa masuk dengan tunduk hormat kepada sekumpulan paderi tadi, dengan tujuan menghina beliau dan melemahkan semangat beliau)... tetapi Ibn El Baqalany ini seorang yang bijak dan faham penghinaan terancang itu lalu beliau masuk secara menyonsang: terpaksa tunduk tetapi membelakangkan arah masuk @ ponggongya yang masuk dahulu @ mereka terpaksa melihat ponggongya ... ini pukulan pertama

Kemuadian, dia memulakan perkenalan bertanya khabar( sebagaimana adat Arab): Apa khabar kamu, apa khabar anak isteri kamu? bla bla...... Lantas para padera ketawa besar... Apalah kamu! Kamu tak tahu ke paderi mana ada yang kahwin! Mana ada isteri dan anak.. ha ha ha... lantas Ibn El Baqalany menjawab mudah... begitu ke! Tapi tuhan kamu ada isteri dan anak pula... terdiam mereka ... pukulan kedua....

Berlarutan perdebatan mereka... tak diceritakan kepadaku pula, nanti kurujuk drp sumber asalnya....

Akhirnya beliau pulang dengan penuh bangga. Raja Rome mengutus surat kepada khalifah melalui El Baqalany. Dia tak tahu kandungannya... rupa- rupanya ada racun di dalamnya. Raja Rome menyedari kebijakan Ibn El Baqalany dan dia mahu insan cerdik ini mati. Bila surat itu sampai ke tangan khalifah, khalifah ketawa dan membacakannya kepada Ibn El Baqalany: Hebat sungguh utusanmu ini. Orang seperti inilah sepatutnya menjadi khalifah.( tujuannya untuk mengapi- apikan khalifah agar khalifah merasa terancam lalu menghapuskannya... seperti adat kebencian sesama orang kafir atau juga seperti kesah Singapura dilanggar todak) lalu jawab Ibn El Baqalany: Mereka tak kenal siapa Khalifah kita.. tentu dia lebih bijak daripada aku... khalifah tersenyum bangga.. memang khalifah itu sangat bijak kerana mengenali kemampuan Ibn El Baqalany

Apa pengajarannya... aku pun masih terfikir- fikir... apa agaknya

11/19/2009

Pon Pon

Korban 1430H

Assalamualaikum
Buat pengunjung teratak burukku ini, Aku menjangka pasti ada yang bertandang di teratak mayaku ini.... tapi ku pohon jutaan kemaafan, yang tersaji masih lauk semalam, nasinya dah sejuk tapi, pasti dia tak akan basi. Entah apa ramuannya, insyaAllah ia tak akan basi.

Aku belum berkesempatan menanak nasi beras baru dan memasak lauk baru, baru dimasak, bukan dihangat semula. Kesibukan luar biasa di hujung tahun di kantorku di Ampang Hilir, menghalangku menerus bicara denganmu. Sibuk melayan tetamu penting, menilai dan merangka gerak kerja 1431H. Kami ingin "mengganas" tahun hadapan ini dengan berbagai program baru... kau lihatlah nanti.. semoga Dia merestui "keganasan" itu nanti..... siapa nak join kami..? he he.

Kami insyaallah akan sembelih lembu korban 7 ekor di pejabat kami di 3402, Jalan Ampang Hilir 3, KL pada hari Ahad 29 Nov/ 12 Zul Hijjah. Majlis bermula seawal jam 9 am hingga 3 pm. Diserta sekali jamuan besar untuk yang bertandang. Jamuan makan bermula jam 11 am insyaAllah. Yang kelapangan, jom bertandang.....

Sekali lagi, akan kuusahakan mencari celah masa untuk terus berbicara denganmu. Aku juga didatangi gelombang baru mendesakku menerus semula "Bicara untuk Syabab" yang tergendala seketika dulu. Semangat muncul semula setelah malam tadi aku memulakan kuliah Maghrib bulanan di Masjid Mujahiden, Damansara dengan topik Pembangunan Remaja. Insya Allah akan kunukilkan patinya nanti, semalam baru panas enjin....

11/12/2009

Fenomena Fitnah 3



Siri III : Bisikan... Permulaan Fitnah

  1. Sesungguhnya ciri fitnah yang pertama ialah ia tidak kelihatan oleh mata secara sekaligus. Tetapi ianya hanya tersembunyi dan bermula secara bisikan di antara dua atau tiga orang. Kemudian ia melebar dengan berlalunya hari-hari. Problem ini menjadi bertambah besar kerana kekurangan kerja dakwah yang dilakukan. Kurang perhatian dan ketegasan daripada qiadah juga menjadi sebab ia menjadi bertambah subur.
  2. Pada peringkat permulaan, masalah ini menjengukkan mukanya dalam keadaan malu-malu dan bersembunyi dalam keadaan ketakutan. Kerana berterus terang adalah hasil keberanian, sedangkan fitnah dan berbisikan adalah fenomena kelemahan dan keraguan. Allah swt telah melarang daripada berbisikan. Kebanyakan para mufassirin menyatakan bahawa sebab kenapa Allah melarang daripada melakukan perkara ini kerana ia boleh menyebabkan orang lain berdukacita. Ini adalah benar, lebih-lebih lagi ketika ummat Islam hidup dalam keadaan kemewahan dan ketenangan. Sebab kenapa berbisikan adalah dilarang kerana realiti telah menunjukkan berbisikan merupakan permulaan kepada fitnah dan pembentukan klik-klik. Umar bin Abdul Aziz telah menyedari tentang perkara ini, lantas beliau berkata, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Auza`iyy:Umar bin Abdul Aziz berkata: "Jika anda melihat satu kumpulan berbisik-bisik di antara mereka tentang suatu urusan agama mereka tanpa dilibatkan orang lain, maka ketahuilah bahawa mereka sedang mengasaskan kesesatan." (Sirah Umar bin Abdul Aziz, karangan Ibnu al-Jauzi, 103)
  3. Demikianlah akhirnya, bermula dialog-dialog pinggiran, perbahasan-perbahasan individu, jauh dari suasana kerja yang boleh mendatangkan hasil, serta jauh dari kawalan qiadah jamaah. Dengan ini kejahatan bermula dan fitnah melebar. Oleh kerana itu, ada orang membandingkan fitnah ini dengan api besar membakar yang hanya bermula daripada percikan-percikan api yang kecil sahaja. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Nasr bin Sayyar “Aku melihat di bawah pasir cahaya bara api, yang hampir mengeluarkan api membakar. Sesungguhnya api dapat dinyalakan dengan dua batang kayu, dan sesungguhnya kejahatan hanya bermula daripada lidah. (Al-Aghani)
  4. Nasr -seorang pemimpin-, dengan kemampuan siasah dan kelayakan kepimpinannya, amat memahami dan mengetahui tentang perkara ini. Lalu perbandingan dan gambaran yang dilakukannya terhadap fitnah adalah tepat dan indah. Pada waktu yang lain, beliau menggunakan perbandingan yang lain. Beliau mengumpamakan fitnah seperti kandungan yang tidak kelihatan melainkan pada hari-hari terakhir hamil sahaja. Beliau memberi amaran daripada hanya menunggu dengan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap fitnah ini yang akan menyebabkan kesukaran untuk menangani permasalahan ini setelah ia merebak. Bait-bait syair beliau menggambarkan tentang perkara ini:
  5. Apa yang kita sembunyikan tentang urusan kita, adalah seperti lembu jantan ketika mendekati hari penyembelihannya. Atau seperti perempuan yang disangka oleh keluarganya, masih perawan sedangkan sudah hamil sembilan bulan. Kita melihat kepadanya sudah carik, dan carikannya sukar untuk ditampal. Seperti sehelai baju yang amat buruk, sudah tentu menyukarkan walaupun oleh tukang jahit yang mahir. (Muruj al-zahab 3/358)

Akhirnya Ia Menjadi Seperti Perempuan Yang Huduh

  1. Sekiranya beliau dapat memahami tentang fenomena-fenomena fitnah lantaran deria siasi atau deria sosial yang dimilikinya, tetapi apa yang difahami oleh para salaf adalah lebih jelas dan mendalam. Mereka selalu mengambil pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh manusia daripada syair-syair di zaman jahiliyyah sehingga seolah-olah ia menjadi satu kaedah yang berterusan. Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab sahihnya, dengan katanya: Ibnu `Uyainah berkata daripada Khalaf bin Haushab: Mereka suka untuk mendendangkan bait-bait ini ketika berlaku fitnah. Umru'ul Qais berkata: Maksudnya: Peperangan ketika ia pada peringkat permulaan, berusaha menawan hati setiap yang jahil dengan segala perhiasannya. Sehingga apabila api menyala dan kayu api dicucuh, ia melarikan diri tanpa teman. Mukanya hodoh, berubah warnanya, tidak diingini untuk dicium dan dikucupi.
  2. Tujuan mengungkapkan bait-bait syair ini adalah untuk mengembalikan kita kepada apa yang didengar dan disaksikan oleh mereka ketika berlaku fitnah. Dengan mengungkapkan bait syair ini, mengingatkan mereka agar tidak melibatkan diri dengan fitnah dan tidak tertipu dengan fenomenanya yang mempesonakan... (Fath al-Bari 13/10)
  3. Fitnah diibaratkan sebagai perempuan tua yang hodoh, yang tidak diingini untuk dicium dan dikucup. Perumpamaan ini dilakukan adalah bagi menggambarkan keburukan fitnah. Bahkan terdapat beberapa nas syarak sendiri, melalui mimpi orang-orang salih, yang menggambarkan fitnah sebagai seorang perempuan yang mengerbang rambutnya. Ini adalah sebagai memberi amaran kepada orang mukmin daripada mendekatinya seterusnya tidak terpedaya dengan luarannya yang menarik atau permulaannya yang dijalankan dalam keadaan tersembunyi.
  4. Memahami permulaan adalah sesuatu yang mesti dimiliki oleh seseorang pemimpin atau ketua. Sama ada melalui ilham yang merupakan natijah taqwa, atau kebijaksanaan yang dicernakan oleh pengalaman lalu, atau kebolehan semulajadi yang merupakan anugerah daripada Allah swt. Dengan kebolehan ini, seseorang itu boleh membezakan di antara kebenaran dan kebatilan melalui alunan perkataan yang diluahkan, keganjilan tingkah laku, perubahan perangai dan kelakuan. Ini menuntutnya agar mengambil sikap tegas serta tidak dipengaruhi oleh kelembutan tingkah laku, persahabatan yang panjang dan kemanisan perkataan.
  5. Kepentingan jamaah adalah lebih utama daripada untuk mengambil hati sesiapa. Kesatuan saf adalah lebih patut didahulukan daripada untuk mengekalkan individu tertentu. Semuanya tidak akan terlaksana melainkan dengan sikap berterus terang dan membelakangkan penyembunyian. Ia hendaklah dirawat dengan rawatan yang tidak mengakibatkan mata pisau menjadi sumbing atau menyebabkan ketergendalaan amal. Membuang bisul adalah lebih baik daripada memotong anggota badan. Memberikan ubatan adalah lebih utama daripada merawat penyakit. Menjaga burung-burung yang kecil di dalam sarangnya adalah lebih mudah daripada menangani api fitnah yang sudah merebak. Dengarkanlah di sini satu risalah yang menjelaskan tentang pengertian ini dengan gambaran yang mendalam, daripada Nasr bin Sayyar yang dihantarkan kepada Ibnu Hubairah Maksudnya: Walaupun ia adalah anak burung yang berumur dua tahun namun tubuhnya adalah besar, apabila ia telah cergas kakinya diselaputi bulu halus. Jika ia terbang bulu-bulu halus itu tidak menyakitkannya, tetapi ia boleh menyebabkan api merebak cepat. (Tarikh al-Tabariyy, 6/38)

Cita- cita 2


sambungan....

Cita-cita orang toleh

  1. Saat menghampiri kematian dia berharap dan bercita-cita agar ditambah usianya walau seketika cuma untuk bersedekah dan berbuat kebajikan. Ibn Abbas r.a. berkata maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai harta yang cukup untuk dia menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya, atau memiliki harta yang cukup nisab untuk membayar zakat tetapi tidak dibayarnya, maka dia akan meminta dikembalikan nyawanya apabila sampai masa dia dimatikan”. Seorang lelaki berkata kepadanya: “Wahai Ibn Abbas, Takutlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya yang meminta supaya dipulangkan nyawa itu adalah orang kafir”. Ibn Abbas menjawab: “Aku akan bacakan kepadamu ayat-ayat ini”. Dia membacakan ayat-ayat daripada surah al-Munafiqun yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (9, 10, 11). Riwayat at-Tirmizi. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Mu’minun bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (99-100)
  2. Ketika diusung ke tanah perkuburan dia bercita-cita untuk melarikan diri dari dibawa ke tempat persemadiannya. Abi Sa’eid al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila diletakkan jenazah di atas keranda, lalu dia diusung oleh beberapa orang pengusung, jika dia terdiri dari orang soleh maka dia berkata: ”Qaddimuni! Qaddimuni! (Ayuh segera hantarkan saya! Ayuh segera hantarkan saya!)”. Jika dia bukan dari kalangan orang yang soleh, dia menjerit: “Aduhai celakanya! Ke mana mereka hendak manghantarkan aku!”. Nabi s.a.w. menjelaskan maksudnya: “Jeritannya itu didengari oleh segala sesuatu kecuali manusia. Sekiranya manusia mendengarnya nescaya mereka akan mati serta merta”.
  3. Ketika berada di alam barzakh ia bercita-cita untuk kembali ke dunia walau seketika untuk melakukan amal soleh sekadar solat dua rakaat sahaja dirasakan cukuplah. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa ketka Rasulullah s.a.w. melintasi sebuah kubur, baginda bertanya: “Kubur siapakah ini?” Sahabat menjawab: “Kubur si fulan”. Baginda lalu bersabda maksudnya: “(Kembali ke dunia untuk) menunaikan solat dua rakaat lebih diingini oleh pemilik kubur ini daripada segala isi dunia”.
  4. Ketika dihimpunkan di Padang Mahsyar dia bercita-cita, merayu dan meminta supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh. Allah s.w.t. telah berfirman maksudnya: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (As-Sajadah:12)
  5. Dia juga bercita-cita untuk memiliki harta lebih besar daripada dunia untuk menebus segala dosa-dosanya. Hal ini dinyatakan di dalam al-Quran bermaksud: “…..dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. Mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah Neraka Jahanam dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.” (Ar-Ra’d:18)
  6. Bukan sekadar harta, malah segala miliknya yang paling berharga dan amat disayanginya semasa di dunia, dia tidak teragak-agak untuk menggunakan semua itu demi menebus dosa dan kesalahannya. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “….(pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri. Dan isteri serta saudaranya. Dan kaum kerabatnya yang melindunginya. Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi, kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya Neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya. (Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan. Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran).” (Al-Ma’arij: 11-17)

Cita- cita 1


Ambilan Drp blog teman.. dengan seditik pengubahsuaian..

Cita-cita orang soleh

  1. Ketika diusung ke tanah perkuburan dia bercita-cita untuk segera sampai ke tempat persemadiannya. Abi Sa’eid al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila diletakkan jenazah di atas keranda, lalu dia diusung oleh beberapa orang pengusung, jika dia terdiri dari orang soleh maka dia berkata: Qaddimuni! Qaddimuni! (Ayuh segera hantarkan saya! Ayuh segera hantarkan saya!)”
  2. Ketika berada di alam barzakh dia berharap agar segera terjadinya qiamat. Rasulullah s.a.w. meneceritakan bahawa seseorang hamba yang beriman, apabila telah selesai menjawab soalan dua malaikat di dalam kuburnya, suara dari langit akan berseru maksudnya: “hambaKu telah berkata benar. Maka sediakan untuknya hamparan daripada syurga, pakaikan dia pakaian daripada syurga, bukakan untuknya pintu ke syurga! Maka terbentanglah di hadapannya syurga dengan wangian-wangian, diluaskan dan dilapangkan kuburnya sejauh pandangan matanya. Datanglah kepadanya seseorang yang sangat cantik parasnya, bersih dan harum pakaiannya seraya berkata kepadanya: “Berbahagialah dengan kenikmatan yang diberikan kepadamu, inilah hari yang dijanjikan untukmu”. Dia bertanya kepada orang yang datang itu: “Siapakah kamu? Sesungguhnya wajahmu adalah wajah yang membawa kebaikan!”, lalu dia menjawab: “Aku adalah amalanmu yang soleh”. Maka dia berkata: “Ya Allah! Segerakanlah qiamat! Segerakanlah qiamat! Semoga aku dapat bertemu dengan keluargaku dan hartaku!”
  3. Bercita-cita untuk kembali menemui ahli keluarga dan memberitahu apa yang sedang dialaminya daripada kesenangan dan kenikmatan yang tiada tandingnya. Jabir bin Abdullah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seorang mukmin melihat betapa lapang dan luas kuburnya, dia berkata: “Biarkan aku kembali menyampaikan berita gembira kepada ahli keluargaku”. Hal ini juga telah diceritakan di dalam al-Quran, di mana seorang pendakwah yang telah dibunuh oleh kaumnya bercita-cita agar kaumnya mengetahui nikmat yang sedang dikecapinya. Allah berfirman maksudnya: “(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Ia berkata; Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui. Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.” (Ya-Sin:26-27)
  4. Bagi orang yang syahid fi sabilillah, cita-cita mereka berlainan pula. Mereka bercita-cita untuk kembali ke dunia agar dapat berperang dan terbunuh beberapa kali lagi. Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada orang yang telah masuk syurga bercita-cita untuk kembali ke dunia, sedangkan dia tidak memiliki apa-apapun di atas muka bumi, kecuali orang yang syahid. Dia bercita-cita untuk kembali ke dunia dan terbunuh di jalan Allah sepuluh kali kerana kemuliaan yang dilihatnya”
bersambung ....

11/11/2009

Jalan Kemenangan 3 Dan Akhir


sambungan....

  1. Ya Ikhwan: Mungkin kamu berasa hairan mengapa saya bawakan bicara sebegini di dada akhbar kamu ini sedang kamu menanti-nanti saya berbicara mengenai masalah yang melanda dunia, derita yang dialami oleh umat Islam seluruhnya. Kamu mengharapkan saya menyatakan sikap, pendirian dan tindakan yang patut diambil oleh jamaah kita.
  2. Dengarkanlah penjelasanku: Sesungguhnya kamu ingin mencapai matlamat yang besar hebat. Oleh itu kamu mesti memahami dengan sebenar-benarnya bahawa dengan matlamat itu bererti kamu berada di atas satu garisan dan dunia seluruhnya berada di atas garisan yang berlawanan dengan kamu.
  3. Kamu menghendaki Islam berkuasa. Dunia diperintah oleh jiwa-jiwa yang bersih suci, akhlak mulia yang melimpah dengan kebaikan, hati-hati yang penuh rahmat dan kasih sayang dan kesejahteraan memayungi alam semesta.
  4. Manusia pula menghendaki kebendaan berkuasa, harta melimpah ruah, kemewahan tiada sempadan, perebutan yang tiada berkesudahan antara golongan kuat dan lemah. Yang kuat memangsakan yang lemah. Yang berkuasa sentiasa menang dan yang diperintah sentiasa kalah. Kemanusiaan tidak akan kenal erti keadilan, tidak akan mengecapi rahmat kasih dan sayang. Itulah yang manusia kehendaki berbanding dengan apa yang kamu kehendaki. Kamu berada di satu pihak, sedang dunia di satu pihak yang lain. Manusia berselindung di sebalik kedustaan, berinteraksi dengan tipu helah dan bermuka-muka. Mereka lari daripada menghadapi kenyataan. Pada hal kamu tidak mahu itu semua kerana kamu sentiasa bermuraqabah. Diri kamu dan amalan kamu sentiasa diperhati oleh yang Maya Mengetahui dan Maha Memerhati. Maka perbezaan antara kamu dengan manusia, jika kamu benar dengan apa yang kamu cita-citakan, sangat jauh dari segala sudut.
  5. Bilangan kamu adalah sedikit. Keadaan kamu tertindas di muka bumi ini, fakir dari segi harta, kosong dari segi kekuatan. Maka tidak ada senjata kamu selain hubungan dengan Allah dan mengharap pertulungan dan bantuan daripadaNya serta keimanan yang mendalam terhadapNya. Apabila aspek ini kamu kuasai bererti kamu telah kuasai segala-galanya. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Aali Imran:160)Maka berusahalah untuk menjadi seperti itu. Jangan kamu Tanya bagaiman? Sesungguhnya jalannya telah nyata. Jadilah kamu hamba-hamba sebelum kamu menjadi ketua. Dengan ibadah kamu akan jadi sebaik-baik qiadah. Awas! Jangan kamu terbalikkan isu ini sebagaimana yang dilakukan oleh manusia lain. Mereka mengejar kepimpinan sebelum mereka mensejahterakan aspek ibadah maka mereka tewas atau mereka berjaya mencapainya tetapi terumbang ambing di dalam melaksankan amanahnya.
  6. Serapkan ke dalam diri kamu maksud Hadis Qudsi ini: ”Sesiapa yang menyakiti wali-Ku maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang dengannya. Seseorang hamba-Ku tidak menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu sebagaimana ia menghampirkan diri dengan melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya, kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta pada-Ku akan Ku berikannya, jika dia memohon perlindungan dengan-Ku akan Ku lindunginya”. (Al-Bukhari)
  7. Dan ingat juga firman Allah yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nur:55)

Jalan Kemenangan 2

Shibuya, Tokyo. 07, Mac.... Aku dan Si Anu ?

sambungan ....

  1. Ya Akhi: Islahun-nafs yang kamu cari tidak ada jalan ke arahnya kecuali satu sahaja, iaitu jalan qudwah hasanah yang bersambung dengan Allah, yang mendapat bekalan langsung daripada limpah kurnia-Nya. Qudwah hasanah itu tidak lain daripada bangun malam, qiam dan bermunajat di kala gelita. Tidakkah kamu membaca al-Quran dan mendengar firman Tuhan yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil: 1-6)
  2. Ya Akhi: Orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan dapat memberikannya. Hati yang terputus hubungannya dengan Allah, bagaimana mampu memimpin manusia ke arah-Nya. Peniaga yang tidak punya modal, dari mana keuntungan hendak diraih? Guru yang tidak mengetahui manhajnya, apa cara dia akan mengajar muridnya? Orang yang tidak mampu memimpin dirinya, bagaimana dia akan memimpin orang lain? Maka tahukah kamu betapa berhajatnya kamu kepada jihad jenis ini? Sekiranya kamu dapat membawa orang-orang yang berjanji dengan kamu untuk beramal melakukan perkara ini, maka itulah sebenarnya kejayaan. Tiada lagi kejayaan selain itu. Sesungguhnya sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahib-rahib di waktu malam dan penunggang kuda di waktu siang. Adakah kamu lihat mereka hanya memiliki salah satu daripada sifat itu sahaja?
  3. Ya Akhi: Berusahalah sedaya mampu untuk menggali perbendaharaan Ilahi di waktu malam supaya dapat kamu agihkan kepada saudara-saudaramu di waktu siang.
  4. Kemudian orang tua itu meminta izin untuk beredar. Dia bangkit dan berjalan dengan tongkatnya meredah kesesekan manusia di jalan raya, sedang saya mengiringi pemergiannya dengan hati yang penuh insaf sehingga dia hilang dari pandangan.

bersambung...

Jalan Kemenangan 1

Shibuya, Tokyo. 07, Mac. Setelah empat kali berkunjung, baru kutemui Sakura..

ambilan drp blog teman....


Jalan kemenangan – IBADAH sebelum QIADAH

  1. Saya telah bertemu dengan seorang tua yang telah melepasi perjalanan usia yang sudah lama dan telah menghampiri garisan akhirat. Seluruh kepalanya telah diselaputi rambut yang memutih, garis-garis penuaan meniti wajahnya yang bersih. Saya duduk di sisinya di waktu siang hari, di kala cahaya matahari menyinari bumi. Saya melihat wajahnya berseri-seri disinari cahaya taqwa, pantulan nur dari hati yang sentiasa berhubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Dia tidak dikenali di kalangan masyarakat, namanyapun tiada siapa yang ingat.
  2. Setelah mendengar cerita saya, dia bertanya, apakah nama persatuan kamu? Saya menjawab, kami bukan persatuan, tetapi kami adalah ikhwan fillah (saudara-saudara di jalan Allah) sahaja. Kami berhimpun di atas landasan aqidah dan fikrah. Kami cuba laksanakan pada diri kami, kemudian cuba memahamkannya kepada manusia. Fikrah kami tidak lain kecuali memahami Islam, beramal dengannya dan mengajak orang lain bersama-sama kami dalam memahami dan melaksanakan Islam. Cantik!, komennya. Siapa yang mengajar kamu di rumah (tempat kamu berkumpul)? Tanyanya lagi. Saya menjawab, dalam banyak keadaan, sayalah yang berbicara kepada saudara-saudara saya. Seketika dia terdiam. Kemudian dia mengangkat pandangannya tepat ke wajah saya seraya bertanya, adakah kamu bangun malam? Saya menjawab, apa tujuan tuan bertanyakan hal ini? Jiwa-jiwa kami berada di dalam genggaman Allah. Jika Dia kehendaki, Dia akan membangunkannya. Dan jika Dia kehendaki, Dia akan menahannya. Dia mendengus: benarlah kata-kata Allah dan rasulNya: “…. dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.” (Maksud al-Kahf:54)
  3. Dengan tenang dan teratur dia berbicara, Ya Akhi: Sesungguhnya mentarbiah ruh-ruh, mentazkiah jiwa-jiwa dan memimpin hati-hati tidak terjadi dengan perkataan yang diulang-ulang, dengan kaedah-kaedah yang diajar, dengan teori-teori yang dikemukakan. Semua ini mungkin berkesan kepada akal dan ilmu, tetapi ia tidak berbekas pada jiwa, tidak menyentuh perasaan dan tidak dapat membentuk akhlak. Sesungguhnya perkara utama yang diperlukan oleh jamaah adalah ruh-ruh dan akhlak ahli-ahlinya. Sesungguhnya mereka yang cuba mengislahkan akhlak dengan menulis buku-buku sahaja sebenarnya tertipu dan menipu. Kalau sekiranya inilah juga cara kamu maka alangkah jauhnya kamu daripada mencapai apa yang kamu mahu.

bersambung...

11/09/2009

Pon Pon !

Akihibara, Tokyo 2004. Ogos

Assalamualaikum

  1. Sukacita dimaklumkan aku akan mentarkiz tulisan hanya kepada Anwar Fitanah..... untuk sekian masa. Sekarang sudah ku post Nur 1( satu siri), Nur 2 ( 3 siri) dan Nur 3 ( 1 siri dan ada sambungannya). Aku belum pandai menyusun aturnya agar kamu tidak tercari- cari galurnya. Rujuklah di sudut kanan, bawah, : Untaian Padi dan pilih أنوار الفطنة.... di sana terangkum koleksinya.
  2. Walaubagaimanapun akan ada selingan lain untuk menambah kepelbagaian warna dan peristiwa di samping mengubah angin ketika penat menulis. Ada juga ambilan berharga drp penulisan teman lain
  3. Aku sedar sekarang musim tengkujuh, sana sini banjir dan ribut. Rupa- rupanyanya teman- temanku juga semakin galak menulis, segalak banjir melanda. Siapa yang kau landa ni? Tak kesah lah, asalkan kerana Allah. Ada juga teman yang menghabiskan tulisannya seakhir jam 4 am... huh power giler... semoga dikurnia pahala qiamul lail.... semuanya keranaNya dan kerana kamu semua, agar kamu tetap suci dan murni dan terus menggenggam bara api ini... hingga jadi besi, itulah asyiknya cinta, kita takkan berpaling lagi .... semoga hujan lebatmu yang turun adalah hujan yang bermanfaat اللهم صيبا نافعا
  4. Kepada yang membaca tulisan kami ini, Ianya tak seberapa, terimalah seadanya tapi sedia dikoreksi jika ada ketidak tepatan drp segala segi. Apa yang diharap, tika kau berdoa agar selamat drp petaka itu, masukkan nama dan wajah kami sekali. Mungkin doamu lebih mustajap.. kami ingin menumpang tuahmu... dan juga ingin sama- sama selamat.
  5. Berjumpa lagi........ dan ulangi bersamaku أعوذ باللـــه من الفتن

Fenomena Fitnah 2


Kg Air, Bandar Sri Bagawan

ambilan drp blog teman baikku..

Siri II : Pengertian Fitnah

  1. Dari sudut bahasa bermaksud : Ujian. Al-Raghib al-Asfahaniyy berkata: Asal perkataan fitnah ialah memasukkan emas ke dalam api supaya bersih daripada kekotoran. Kemudian perkataan ini digunakan pada memasukkan manusia ke dalam api. Perkataan ini digunakan dengan makna azab, sebagaimana firman Allah: ذوقوا فتنتكم , Maksudnya: "(Dikatakan kepada mereka): "Rasakanlah azabmu itu." (Al-Zariyat: 14), Perkataan ini juga digunakan bagi apa yang terhasil daripada azab yang berlaku, seperti firman Allah: ألا في الفتنة سقطوا Maksudnya: "Ketahuilah mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu)." (Al-Taubah: 49)
  2. Ia juga digunakan untuk ujian, seperti firman Allah: وفتناك فتونا, Maksudnya: "Dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan." (Taha: 40) Ia juga digunakan bagi kesempitan atau kesenangan yang menjadi pendorong kepada manusia. (Fath al-Bari: 3/13)
  3. Manakala maknanya dari segi istilah: Al-Quran menggunakan perkataan fitnah ini dengan dua pengertian: Pertama: Al-Quran menggunakannya sebagai lafaz yang umum, iaitu dengan makna ujian yang menguji seseorang sehingga ia menjadi seorang yang istimewa kerana dapat bertahan bahkan lebih cekal lagi selepas ujian itu. Jadi ia adalah seperti emas bersih selepas dibersihkan dengan api daripada sebarang kekotoran. Ini adalah seperti firman Allah swt kepada Nabi Musa a.s: وفتناك فتونا Maksudnya: "Dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan." (Taha: 40) Kedua: Al-Quran menggunakan perkataan fitnah sebagai lafaz khusus yang dikehendaki dengannya ujian yang menyebabkan orang yang diuji itu gagal, lalu terdedahlah kekotoran dan kepalsuannya. Ini adalah seperti firman Allah: ألا في الفتنة سقطوا Maksudnya: "Ketahuilah mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu)." (Al-Taubah: 49)
  4. Kegagalan atau penyelewengan hasil dari ujian itu mempunyai beberapa peringkat. Di antaranya merupakan penyelewengan daripada thabat di atas manhaj yang lurus. Di antaranya ialah dengan memiliki sifat ragu-ragu dan futur. Di antaranya ialah kurang iltizam dengan jamaah mukminin serta membatalkan bai`ah dengan qiadah mereka. Kadang-kadang fitnah ini sampai kepada peringkat kufur dan syirik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: وقاتلوهم حتى لا تكون فتنةMaksudnya: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah." (Al-Baqarah: 193)
  5. Fitnah dengan pengertian ini mempunyai beberapa peringkat sebagaimana kufur, syirik dan jahiliyyah juga mempunyai beberapa peringkat. Kadang-kadang perkataan fitnah ini juga digunakan bagi kedua-dua makna tersebut sekaligus, sebagaimana kata-kata Musa a.s: إن هي الا فتنتك تضل من تشآء وتهدي من تشآء Maksudnya: "Itu hanyalah cubaan-Mu, dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki." (Al-A`raf: 155)
  6. Sebagaimana fitnah itu adalah berbentuk individu, iaitu dengan makna mehnah dan bala bencana yang menimpa diri atau hartanya, ia boleh jadi juga menimpa sesuatu jamaah, iaitu menimpa individu-individu yang berada di dalamnya dengan menimpa agama dan aqidah mereka, menjejaskan kadar iltizam mereka dengan jamaah, dan ketundukan serta ketaatan. Inilah pengertian yang diisyaratkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. Di dalam sahih al-Bukhari: `Umar bin Hafs bin Ghayyath menceritakan kepada kami, ayah aku menceritakan kepadaku, al-A`mash menceritakan kepadaku, Shaqiq menceritakan kepadaku: "Aku mendengar Huzaifah berkata: "Ketika kami duduk di sisi `Umar, beliau berkata: "Siapakah di antara kamu yang masih ingat sabda Rasulullah s.a.w tentang fitnah?" Huzaifah berkata: "Fitnah seseorang lelaki yang menimpa keluarga, harta, anak dan jirannya akan dapat dihapuskan oleh sembahyang, sedekah dan amar makruf nahi mungkar." `Umar berkata: "Aku tidak bertanya tentang hadis ini, tetapi yang aku maksudkan ialah hadis yang berkenaan fitnah yang diibaratkan sebagai ombak yang bergelombang besar." Huzaifah berkata: "Wahai Amirul Mukminin, engkau tidak perlu bimbang tentangnya, kerana terdapat pintu (halangan) yang terkunci di antara engkau dengannya." `Umar bertanya lagi: "Adakah pintu itu hanya boleh dipecahkan atau hanya perlu dibuka sahaja?" Huzaifah menjawab: "Membukanya hanya dengan memecahkannya sahaja." `Umar berkata: "Jadi pintu itu bukan akan terkunci selama-lamanya." Huzaifah berkata: "Ya, benar." Kami bertanya kepada Huzaifah: "Adakah `Umar tahu tentang pintu itu?" Huzaifah berkata: "Ya, sebagaimana dia mengetahui bahawa sebelum menjelangnya esok pasti akan didahului oleh malam. Ini adalah kerana aku pernah menceritakan kepadanya tentang satu hadis yang tidak berkenaan dengan al-aghalit." Kami ingin untuk tahu siapakah pintu itu, lalu kami menyuruh Masruq bertanya bagi pihak kami dengan berkata kepadanya: "Siapakah pintu itu?" Huzaifah berkata: "Umar."
  7. Fitnah dengan makna inilah yang dimaksudkan di dalam tulisan ini. Oleh kerana kekufuran dan nifaq mempunyai beberapa peringkat, satu peringkat tidak sama dengan peringkat yang lain, maka fitnah -yang merupakan salah satu fenomena atau hasilnya- juga mempunyai beberapa peringkat. Bermula daripada peringkatnya yang paling bawah dengan menyalahi maruah, sehinggalah akhirnya mengenepikan akhlak dan perasaan. Kadang-kadang fitnah ini sampai kepada peringkat maksiat dan penyelewengan, bahkan kadang-kadang bertukar menjadi syirik dan nifaq.
  8. Oleh itu amaran daripada terlibat dengan fitnah dalam peringkatnya yang tinggi dengan sendiri akan membawa kepada menjauhkan diri daripada peringkatnya yang paling bawah. Fitnah dengan segala jenis-jenisnya juga adalah salah satu penyakit yang menimpa hati manusia, sama ada ia berbentuk syubhat atau keraguan yang lahir lantaran kejahilan dan kekurangan ilmu, atau fitnah yang lahir lantaran menurut hawa nafsu yang berdasarkan sangkaan semata-mata.
  9. Oleh kerana itu adalah menjadi kewajipan kita untuk mencari apakah sebab-sebab yang membawa kepada fitnah ketika mengkaji dan mempelajari segala jenis fitnah.
  10. Berdasarkan kepada kaedah keimanan inilah, adalah baik agar pengkajian tentang fitnah dan segala jenisnya yang berlaku di dalam jamaah mukminah, hendaklah dilakukan berdasarkan pengkajian terhadap sejarah Islam, supaya dapat dikenalpasti tentang sebab-sebab, punca-punca, akibat-akibat dan cara-cara penyelesaiannya. Tetapi perlu diingatkan bahawa persamaan atau qiyas yang hendak dilakukan mestilah berbentuk relatif (nisbi), subjektif dan bermetodologi, tanpa dijatuhkan hukuman yang umum terhadap semua yang terlibat dengan fitnah ini dengan kekufuran dan kefasikan, atau dengan meletakkan mereka yang terlibat dengan fitnah ini pada satu peringkat atau dengan satu hukuman sahaja.

Bekas-bekas Hati

  1. Sejak tercipta manusia, Allah menjadikan mereka ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang menyeru ke arah kebaikan dan ada yang menyeru ke arah kejahatan. Setiap orang dipermudahkan untuk melakukan apa yang diciptakan baginya. Manusia jika dihubungkan dengan maksiat adalah berbeza-beza, sebagaimana mereka juga berbeza-beza ketika dihubungkan dengan ketaatan. Begitu juga manusia adalah berbeza-beza peringkatnya dalam hubungan mereka dengan fitnah yang merupakan salah satu maksiat dan salah satu fenomena bid`ah.
  2. Orang yang berjaya ialah orang yang ditaufiqkan oleh Allah untuk menjauhi dan memeranginya, atau paling kurang tidak terlibat dengannya. Orang yang celaka ialah orang yang terlibat dengannya dan orang yang lebih celaka lagi ialah orang yang mendokongnya.
  3. Setiap amal kebaikan mahupun kajahatan ada orang yang mendokongnya dan menjadi pembuka pintunya. Ibnu Majah meriwayatkan satu hadis daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Ada di kalangan manusia yang menjadi pembuka kebaikan dan pengunci kejahatan, dan ada yang (sebaliknya) menjadi pembuka kejahatan dan pengunci kebaikan. Maka berbahagialah mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kebaikan dan celakalah bagi mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kejahatan."
  4. Di antara perkara yang boleh difahami daripada hadis ini ialah bahawa kebaikan dan kejahatan tidak berlaku melainkan dengan hasil usaha dan kerja manusia. Usaha dan kerja tersebut diketuai sama ada oleh seorang yang mendapat taufiq dari Allah yang memimpin manusia ke arah pintu-pintu kebaikan dan mengunci pintu-pintu kejahatan. Atau ia diketuai oleh seorang yang celaka yang membuka pintu kejahatan dan mengunci pintu kebaikan. Di antara mereka berdua terdapat ramai lagi manusia yang berada di dalam berbagai-bagai peringkat. Pelopor kebaikan mempunyai satu kumpulan yang belajar dan tunduk kepada kebaikan. Manakala orang ramai hanya menjadi pengikut kepada siapa sahaja yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu adalah perlu agar kita berwaspada dan tidak tertipu dengan hasutan mereka dari satu sudut.
  5. Manakala dari satu sudut lagi kita hendaklah sentiasa berusaha agar mereka tidak boleh dipengaruhi oleh para penyeru kejahatan dan fitnah. Berkenaan perkara ini, Ali bin Abi Talib berkata: "Sesungguhnya hati-hati ini adalah bekas. Bekas yang paling baik ialah bekas yang amat memelihara kebaikan. Manusia tergolong ke dalam tiga golongan; alim yang rabbani, penuntut yang mencari jalan keselamatan dan orang yang tidak berperaturan mengikut setiap kata-kata yang dihamburkan, tidak menimbangnya dengan cahaya ilmu dan berpegang dengan dasar yang kukuh... Amatlah celaka bagi pendukung kebenaran yang tidak mempunyai penglihatan. Dia akan merasa ragu terhadap kebenaran yang dibawanya walaupun disebabkan oleh keraguan yang amat remeh. Dia tidak mengetahui di mana letaknya kebenaran sehingga dia boleh mengatakan -ketika ada orang melakukan kesalahan- bahawa anda telah tersilap, atau ketika dia sendiri melakukan kesilapan, dia tidak menyedarinya. Dia amat mengambil berat dengan sesuatu yang dia tidak fahami hakikatnya. Dia sendiri adalah fitnah bagi sesiapa yang terfitnah dengannya... (Al-I`tisam, karangan al-Shatibiyy: 2/358)
  6. Kata-kata ini bermaksud bahawa sesiapa yang tidak memiliki kefahaman dakwah yang sempurna yang membolehkannya untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan, maka dia adalah salah seorang pengikut yang hanya mengikut setiap kata-kata atau pendapat yang diketengahkan. Dia hanyalah penyeru ke arah fitnah atau kayu api kepada bara fitnah. Bahkan akhirnya dia menjadi mangsa fitnah itu sendiri.


Bersambung : Bisikan... Permulaan Fitnah

11/08/2009

Menarik Bagiku





Selamat Menyambut SPM




Buat Iyadh Tersayang

  1. Abi dan Ummi merangkumkan ucapan selamat menyambut SPM. Lihatlah SPM ini suatu yang menggembirakan, dilalui dengan seronok dan penuh minat. Memang tention jugak.. tapi Allah akan permudahkan. Abang Kimah di San'aa juga pasti mendoakan kejayaan Iyadh
  2. Iyadh adalah penghulu anak- anakku. Dia baru naik pangkat setelah abang berkelana menuntut ilmu IMAN di San'aa. Bimbinglah adek- adek lain ke arah iman dan taqwa... semoga suksessssssss.

أنوار الفطنة تبدد ظلمات الفتنة 2 -3

sambungan......

  1. Sebelum itu, Al Kulaini pernah berkata : Wahai anakku! Kepetahan berbahasa tanpa ketulusan hati tidak akan menyampaikan kamu kepada kebenaran walaupun selangkah. Perjalanan ini adalah perjalanan hati... يا غلام , فقه اللسان بلا عمل القلب لا يخطيك الى الحق خطوة , السير سير القلب
  2. Begitu juga kepada kelompok dakwah: Jika leka bercakap banyak, banyak menghasilkan penulisan dan menjadikan akhbar dan mimbar medan berkokok dan meninggalkan usaha keras mencetak hati dan mengadun jalin jiwa... pasti akan terencat perjalannnya menuju kekuasaan, tak mampu melangkah walau setapak.
  3. Di sudut lain, mungkin juga keterencatan itu menjadikan kelompok itu mengurus penyakit yang sedia ada dan tidak dijangkiti penyakit baru... tetapi jika penyakit riya' itu terus berkembang secara jamaie menjangkiti seluruh anggota... mereka bakal menjurus ke lembah kelemahan. Al Rabie' Bin Khuthaim pernah berkata : Semua yang dilakukan bukan kerana Allah pasti akan mula melemah dan terungkai
  4. . Riya' jamaah bukan suatu yang asing. Sejarah banyak menukilkannya, terangkum dalam bentuk: Menggunakan istilah- istilah baru yang direka- reka, membangunkan ijtihad yang ganjil yang berdalilkan pandangan tersilap sesetengah fuqaha' silam dan muhaddithin @ ahli hadith atau bergegas menambah bilangan ahli dengan mengabaikan kualiti tarbiyah mereka.
  5. Ketika di hujung nafasnya, Shidad Bin Aus ( sahabat) telah diminta untuk menyimpulkan pengalaman perjuangannya: Dua penyakit yang paling aku bimbangi menjangkiti kamu ialah riya' dan syahwat yang tersembunyi.... yakni syahwat itu menyelinap dan bersembunyi di sebalik kegelapan riya'. Tabie Talhah Bin Mushraf telah membantu mereka yang dijangkiti ini dengan mengajarkannya doa ini ; اللهم إغفر لي ريائي وسمعتي Ya Allah, maafkanlah aku dek kerana riya' dan sum'ahku ( suka orang tahu kebaikanku)
  6. Untuk itu, teman dan anak- anak mudaku, beristighfarlah dengan penuh penyesalan atas riya' yang silam, tak kamu sedari tapi Dia tetap tahu. Dia Maha Pengampun dan Penyayang dan.. mulakan lembaran baru
....tamat

Kedat... @ Miqdad


11/07/2009

Kami semua teringatkan Ikrimah



Mamat.. Yang Kami Sayangi





Lagi... Suasana Desa





Tukar Mood, Seje- saje



Suasana di kampung arwah nenekku.. jom bertandang.... padi tak lama lagi nak masak.. boleh mengerat padi... menyauk anak ikan puyu dan lundu, memanggang ikan keli, menggoreng burung ayam- ayam dan tidur siang beranginkan bayu musim panen... segalanya indah... takkan kau temui di bandar besar tempat engkau mencari nafkah dan berbuat onar...

Sebak....



Tadi, seorang temanku membacakan untuk kami ayat istiqamah ( Fusshilat 24: 30- 35), bacaannya merdu, dialah qari' kami setiap kami berhimpun. Tapi, tadi... lain pula jadinya. Bacaannya tersekat- sekat..... diiringi dengan sebak dan semua yang lain tersentak dan terpaku..... lalu kami sebak bersama.... entah apa punca sebaknya, tak sanggup kutanya, tapi yang kutahu sebakku sendiri, daripada mana puncanya.

Baru sesaat berlalu, dia menyingkap jiwanya bergelodak tadi pagi, teringat teman yang telah pergi... yang pergi membawa istiqamah bersamanya. Istiqamah adalah kafannya. Rupanya kami serupa.. semua teringatkan si dia.

Dia pergi menjinjing istiqamah. Insan itu amat kukagumi... semoga kita juga sepertinya... menggenggam bara api perjuangan , walaupun hatinya terbakar hangus dek sengketa tak bersebab, terus dipegang jua hingga ke akhir nyawanya. Cuba kau bayangkan, betapa deritanya jiwanya seketika... meninggalkan dunia ini, temannya masih begitu.... tapi aku yakin, insyaallah penyudah nafasnya berbaur kecewa dan gembira, walau apa yang berlaku.... aku tetap istiqamah dan berusaha..... aku masih teringat, wajah akhirnya, setelah sejuk kaku.. ia tetap manis.. semanis wajah orang Sudan...

Yang hidup harus terus berjuang, menapak di tapak pejuang, agar kesudahan nanti seperti kesudahan pejuang. Aku teringat si Qutub pernah berkata... sesiapa yang ingin mati sebagai muslim... harus sentiasa islam dalam sepanjang detik hidupnya... أن يكون مسلما في جميع اللحظات من حياته