Halwa Telinga


2/27/2011

أنوار الفطنة تبدد ظلمات الفتنة 6 Sambungan

Di Dimyat Qadimah disisi makcik penjual bawang putih
Sambungan yang lalu..
  1. Sesiapa yang mendalami adab Islam dalam Ilmu Hadith( Jarah Wa Ta'dil) mengetahui bahawa antara asas Islam dan hikmah ialah barangsiapa yang banyak kebaikannya, ianya pasti memberi kesan kepada nilai dirinya dan dihargai oleh Islam. Ia juga mampu diberikan pertimbangan yang wajar untuknya berbanding orang lain yang tidak banyak kebaikan yang telah dilakukan serta wajar diberikan kemaafan berbanding orang lain. Ini adalah kerana maksiat adalah najis dan kekotoran dan air yang melebihi dua kollah, tidak dianggap kotor disebabkan dicampuri najis berbanding air yang sedikit, terus kotor( tidak boleh bersuci dengannya) walaupun dicemari oleh sedikit najis
  2. Rasulullah juga pernah bersabda kepada Omar al Khattab berkaitan seorang sahabat( ahli badar) yang melakukan kesalahan yang besar bahawa Allah telah mengampunkan mereka walaupun sebesar mana kesalahaan mereka. Kesalahan tetap kesalahan dan dia berhak dihukum kerana membocorkan rahsia Rasulullah dan orang Islam di Madinah, tetapi oleh kerana sumbangan besarnya dalam perang badar menyebabkan hukuman terhadapnya wajar dikecualikan dan dimaafkan.
  3. Begitu juga berlaku kepada Saidina Osman Affan, apabila memberikan sumbangan yang sangat banyak atas permintaan Rasulullah, Rasulullah berkata: Osman tidak akan termudarat apapun selepas daripada ini atas apa sahaja yang dilakukannya
  4. Begitu juga dengan Hassan Bin Thabit, dek kerana besarnya sumbangannya mempertahankan Islam melalui syairnya..... tersilap seketika dan terlibat memfitnah Aishah isteri Nabi ( Hadith Ifk).. dia tetapi dikasihi Nabi dan para sahabat hinggakan Aishah marah kepada Urwah Bin Zubir, anak saudaranya kerana mencerca Hassan seraya berkata,biarkan dia, dia telah mempertahankan Rasulullah melalui syair- syairnya
  5. Adapun bersikap keras dan ketat, mahukan kesempurnaan kepada semua orang wajar ada pada pemimpin dan murabbi, bukan kepada yang lain . Ingatilah kata- kata Saed Bin Musayib ini: Setiap orang yang mulia, hebat dan terkenal, pasti ada disana keaiban masing- masing. Ada orang yang tidak wajar dihebahkan keaibannya. Jika kebaikannya lebih banyak berbanding keburukannya, utamakanlah kebaikannya ....
  6. Osman pernah berkata kepada pengkritiknya: Berlaku adillah terhadap kami! Kamu meminta kami memerintah seperti cara Abu Bakar dan Omar tetapi kamu tidak bersikap baik ( kepatuhan kepada kami dan berakhlak mulia dalam diri kamu) seperti rakyat semasa zaman Abu Bakar dan Omar
  7. Untuk itu berlaku adillah kita semua. Kamu meminta kehebatan dan kesempurnaan dalam berbagai lapangan( tarbiah, dakwah ......) tetapi kamu tidak mengetahui kepenatan dan kesukaran yang dihadapi oleh para pemimpin mengemudi bahtera yang besar ini, dilambung ombak dan dipukul badai.. seperti kesengsaraan yang dihadapi oleh Abu Bakar dan Omar mempertahankan Islam dan melebarkan capaian kekuasaan Islam satu ketika dulu.. sedangkan apa sumbangan dan banyakkah usaha islah yang telah kamu lakukan dan nipisnya kesabaranmu ... setanding kah dengan usaha tentera Abu Bakar dan Omar?..
  8. Kamu sibuk mengumpul harta, banyak berehat dan berwaktu untuk berborak... dan kamu hanya berikan untuk dakwah lebihan waktumu... dan kamu meminta kejayan yang luarbiasa untuk dicapai...
  9. Semuanya bersyarat: kalau kamu inginkan kegemilangan seperti zaman Abu Bakar dan Omar, kamu mestilah menjadi seperti Khalid dan Saad Bin Abi Waqqas... Insafilah ..... Mereka semua berikhtiar untuk memberikan kebaikan buat kita semua.. sepenuh tenaga mereka.. begitu juga ibubapamu.... walaupun bagaimanapun nilaimu terhadap mereka.... sebenarnya kamu masih muda dan perlu terus banyak melihat dan mendengar.... hormatilah mereka.. jangan lukai mereka... jangan angkuh terhadap mereka.. tanpa mereka.. segalanya tiada... kau tidak akan wujud di muka bumi ini.. dan segala yang kau banggai itu....

Mubarak Ya Anas


Assalamualaikum

Selamat Pengantin Baru akh Anas Arshat ( 27 Feb 2011)

2/24/2011

Tuntutan Intima' Kepada Dakwah : Iman Yang Mendalam 1.1

Di Muktamar Tarbiah Nasional 2010
Teman dan anak- anakku!

  1. Rabbaniah adalah peledak hakiki dan sebenar kepada semua gekakerja dakwah kita semua. Kita yang berada dalam sebuah bahtera besar ini berbeza sesama kita berdasarkan tahap rabbaniah kita dan hasilnya juga berkaitan dengan tahap ini. Jika rabbaniah ini tidak mendasari hati kita, tiada makna semua dakwaan ini, tiadanya keberkatan dan tiada juga hasilannya nanti. Dakwah ini sebenarnya adalah usaha untuk mendapat keredhaanNya dan syiarnya adalah " Allahu Ghayatuna" Allah adalah matlamat kami
  2. Kelemahan atau kecacatan berkaitan tahap rabbaniah kita bermakna lemah atau cacatlah kerja dakwah kita, cacatlah sumbangan kita dan lembablah harakah dan gerak kerja islah kita dan yang lebih bahaya lagi, terdedahnya kita kepada tindakan luar disiplin bertentangan dengan yang ditentukan oleh aturan dakwah. Sebaliknya, meningkatnya keimanan kita bermakna bertambahlah hasilan bermutu dakwah kita, semakin terbukalah hati- hati manusia kepada kita. Andaikan sahaja, iman kita hanya di tahap 50%, maka hasilan yang bakal muncul hanya akan sampai ke tahap itu sahaja ataupun kurang berbanding rancangan yang banyak yang telah kita tetapkan. Dalam ertikata lain perancangan strategik yang cantik itu, tidak akan tercapai jika tahap rabbaniah ahli di tahap yang rendah. Kesimpulannya Rabbaniah yang tinggi dan dekatnya kita dengan Allah merupakan peledak utama untuk keberhasilan kerja dakwah yang mencapah dan kreatif
  3. Almarhum Ustaz Mustafa Masyhor pernah menceritakan bahawa Imam Al Banna amat meyakini bahawa seorang individu muslim yang komited melengkapkan sifat- sifat muslim dalam dirinya merupakan anasir utama dalam perjuangan dan pembinaan ummah serta usaha merealisasikan objektif perjuangan,. Setelah dia membentuk dirinya, dialah juga yang menerajui pembinaan rumahtangga dan keluarga, dialah jua yang berperanan dalam masyarakat( memimpin dan membimbing) dan juga nanti dalah era membangun negara Islam. Pabila individu ini sejahtera, sejahteralah nanti semua peranan yang dimainkannya disemua marhalah dakwahnya( daripada marhalah individu hinggalah kepada marhalah ustaziatul Alam)
  4. Keutamaan yang diberikan kepada usaha tarbiah pasti melahirkan anggota yang mencapai tahap rasa tanggungjawab yang tinggi dan bersedia ( tanpa diminta) bersama dalam memikul apa jua tuntutan dakwah, ringan atau berat atau sarat. Mereka juga akan bijaksana memurnikan kerjasama dan persefahaman tanpa memerlukan perselisihan dan bermasam muka.(rujuk akhir ayat 213 surah al Baqarah)
  5. Aku mula merasakan bahawa masalah keluarga dan anak- anak kita ada kaitan dengan tahap rabbaniah kita orang dewasa ini. Penyelesaiannya pula dengan mempertingkatkan tahap rabbaniah kita ya ikhwah. Bagi anak- anakku sayang..... tingkatkanlah rabbaniahmu... kelak, hidupmu akan jauh lebih makmur, ceria dan penuh dengan hasil yang bermakna
  6. Sebagai tindakan mempertingkatkan rabbaniah kita, mari kita bersama- sama melakukan amal soleh ini... dan laporkan pencapaiannya kepada naqib dan murabbimu dalam usrah/ halaqahmu minggu depan
  • Membaca satu juzu' quran setiap hari
  • Membaca al Ma'thurat Kubra setiap hari
Bersambung... Rabbaniah dan jalan ke arah kemenangan

Tuntutan Intima' Kepada Dakwah: Mukaddimah

Di Medan Yarmuk, Jordan

Assalamualaikum.
Apabila kita memilih untuk bersama dengan dakwah Islam dan Islah ( itulah sebaik- baik pilihan) ini, bersedia untuk menyebarkannya ke mana sahaja hingga sanggup berkorban kerananya beberapa perkara perlu diberikan perhatian . Untuk menjamin intima' ini berlaku sebagaimana sepatutnya, beberapa ciri keperibadian muslim perlu di penuhi dan dihayati. Mari kita usahakan bersama:
Sepuluh perkara ini kita hayati dan amalikan bersama :
  1. Iman yang mendalam
  2. Daya juang/ iradah yang kuat
  3. Keseriusan dan himmah yang tinggi
  4. Qudwah hasanah
  5. Lemah lembut dan penyantun
  6. Kerahsiaan
  7. Kesetiaan yang berterusan
  8. Pengorbanan yang agung
  9. Keperihatinan kepada pengurusan masa
  10. Urusan kehidupan yang teratur
Perinciannya... kita hayati bersama.. bersama dengan tindakan amali... agar tidak jadi teori semata.... kekuatan dariMu Ya Rabb

Dan.... antara intima' ku kepada dakwah ini.... aku akan kembali mengaktifkan laman ini...

2/22/2011

Kembali Aktif


Assalamualaikum
Aku akan kembali aktif, insyaallah