Halwa Telinga


10/28/2009

حديثي الى الشباب 2


Kepada Siapa Aku Berbicara ?
1. Ini bicara khusus buat anak- anak dan rakan mudaku yang terpilih. Terpilih kerana mereka cuba memahami dan cuba menghayati Islam dalam realiti nyata kehidupan harian. Terpilih kerana memilih secara rela. Bilangannya tak kuketahui tapi yang pastinya ramai. Sebahagiannnya memang ku kenali secara dekat dan sebahagian yang lain mungkin tak kukenali ( tapi mereka mengenaliku: maafkan aku, mungkin terlupa, maklumlah sudah menjangkau 45 tahun) tapi yang pastinya bila bertemu, ada aura sejenis kepercayaan dan keyakinan, lalu membuahkan rasa selesa, wajahnya boleh kuteka, ada sinar sujud padaNya. Anggaplah bicaraku ini buatmu, tidak buat yang lain, sebagaimana sahabat radhiyallahu ‘anum, merasakan setiap yang terungkap di lidah Muhammad, ditala buat mereka. Ini bicara buat kita yang saling mengenali. Kepada yang lain, aku tidak pasti, tapi terserah pada Ilahi, jika diizin, pasti ada faedahnya buat mereka.
2. Juga untuk anak muda yang sudah pandai menaggungjawabi beban orang dewasa, walaupun fahamnya belum seberapa. Jangan salah tanggap, aku menghargai kamu, kami dulu lewat memilki kesedaran. Kamu beruntung, seawall usia ini sudah memahami erti kehidupan dan perjuanagan, bertanggungjawab atau ingin bertanggung jawab. Dulu dan sehingga kini kami sering silap. Semoga kamu tidak mengulanginya. Ingin dikongsi keperitan berbuat salah dan kegembiraan berjaya, agar kamu melangkah tanpa rencat, cahaya gemilangnya lebih cerah bahkan menyilaukan pandangan. Akan ku nukilkan buatmu anak- anakku, apa yang kurasa perlu, kurasa penting buat perjalananmu. Tanggungjawabku menebas semak di jalananmu, jangan ke kiri terus ke kanan, berhenti sebentar sahaja di simpang itu dan terus ke hadapan. Hasan telah membersihkan laluanku, rasanya nanti mungkin semak kembali, begitulah aturan fitrahnya, aku telah berjanji meneruskan minatnya : membersih dan mengindah jalanan buat para duat.
3. Secara terangan, aku ingin menyindir rakan seangkatan, penumpang sebahtera yang kulihat kurang memberi perhatian, kurang memandu arah perjalanan, membiar anak muda meredah onak dan duri, lembah yang sangat asing buat mereka, tidak terjangkau dek pemikiran mereka, dek kecetekan ilmu di dada. Kenapa kamu tidak seperti dulu: rajin, berusaha keras, sangat memahami dan perlu kau ketahui, anak- anak itu kecewa denganmu, berikan hak kami , kata mereka. Aku sering berbicara dengan mereka, kerap kudengar rintihan ini. Untuk itu, kamu perlu upgrade versimu, sekarang sudah ada versi baru selepas vista. Berikan kerjasamamu, fahami mereka dan penggerak mereka atau nanti mereka redah dan terjah saja tanpa peduli kuasa dan sempadan singgahsanamu. Aku berminat bersama mereka kerana aku juga sudah jemu dengan kemelut ini. Aku tak pasti adakah ungkapan ini difahami atau aku akan kena lagi…..

No comments:

Post a Comment