Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang  sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali  bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan  r.a.
Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah  itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua  ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat  besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad.  Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah  adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang  dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama  sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman  ini.
Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah  selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain  telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin  Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh  sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir,  mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya  Husain.
Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar  telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan  mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun  berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah.  Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding  hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka  mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang  upacara memperingati kesyahidan Ali.
Sungguhpun begitu, kelahiran  golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan  Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab  fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin  angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka  adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan  akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan  reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian  muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia  terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau  tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang  oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin  dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan  mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama  sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada  perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi  khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan  ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai  kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi  akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia  berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di  kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan  (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain  daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan  prinsip-prinsipnya.
Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang  khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan  Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun  122 H.
Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang  terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada  namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah  tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab  mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya.  Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling  dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan  perkara.
Halwa Telinga
11/01/2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment