Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan  ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang).  Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana  kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan  umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan  bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya,  lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul  pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada  suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan  kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya  termasuk api yang menjadi sembahan mereka.
Mereka sedar bahawa secara  bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka  sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat  pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi  hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan  khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa  yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti  bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur  adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke  dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di  kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan,  sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali  bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli  Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka  akan berterusan.
Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan  puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang  baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan  sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.
Halwa Telinga
11/01/2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment