Halwa Telinga


11/12/2009

Cita- cita 2


sambungan....

Cita-cita orang toleh

  1. Saat menghampiri kematian dia berharap dan bercita-cita agar ditambah usianya walau seketika cuma untuk bersedekah dan berbuat kebajikan. Ibn Abbas r.a. berkata maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai harta yang cukup untuk dia menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya, atau memiliki harta yang cukup nisab untuk membayar zakat tetapi tidak dibayarnya, maka dia akan meminta dikembalikan nyawanya apabila sampai masa dia dimatikan”. Seorang lelaki berkata kepadanya: “Wahai Ibn Abbas, Takutlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya yang meminta supaya dipulangkan nyawa itu adalah orang kafir”. Ibn Abbas menjawab: “Aku akan bacakan kepadamu ayat-ayat ini”. Dia membacakan ayat-ayat daripada surah al-Munafiqun yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (9, 10, 11). Riwayat at-Tirmizi. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Mu’minun bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (99-100)
  2. Ketika diusung ke tanah perkuburan dia bercita-cita untuk melarikan diri dari dibawa ke tempat persemadiannya. Abi Sa’eid al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila diletakkan jenazah di atas keranda, lalu dia diusung oleh beberapa orang pengusung, jika dia terdiri dari orang soleh maka dia berkata: ”Qaddimuni! Qaddimuni! (Ayuh segera hantarkan saya! Ayuh segera hantarkan saya!)”. Jika dia bukan dari kalangan orang yang soleh, dia menjerit: “Aduhai celakanya! Ke mana mereka hendak manghantarkan aku!”. Nabi s.a.w. menjelaskan maksudnya: “Jeritannya itu didengari oleh segala sesuatu kecuali manusia. Sekiranya manusia mendengarnya nescaya mereka akan mati serta merta”.
  3. Ketika berada di alam barzakh ia bercita-cita untuk kembali ke dunia walau seketika untuk melakukan amal soleh sekadar solat dua rakaat sahaja dirasakan cukuplah. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa ketka Rasulullah s.a.w. melintasi sebuah kubur, baginda bertanya: “Kubur siapakah ini?” Sahabat menjawab: “Kubur si fulan”. Baginda lalu bersabda maksudnya: “(Kembali ke dunia untuk) menunaikan solat dua rakaat lebih diingini oleh pemilik kubur ini daripada segala isi dunia”.
  4. Ketika dihimpunkan di Padang Mahsyar dia bercita-cita, merayu dan meminta supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh. Allah s.w.t. telah berfirman maksudnya: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (As-Sajadah:12)
  5. Dia juga bercita-cita untuk memiliki harta lebih besar daripada dunia untuk menebus segala dosa-dosanya. Hal ini dinyatakan di dalam al-Quran bermaksud: “…..dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. Mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah Neraka Jahanam dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.” (Ar-Ra’d:18)
  6. Bukan sekadar harta, malah segala miliknya yang paling berharga dan amat disayanginya semasa di dunia, dia tidak teragak-agak untuk menggunakan semua itu demi menebus dosa dan kesalahannya. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “….(pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri. Dan isteri serta saudaranya. Dan kaum kerabatnya yang melindunginya. Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi, kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya Neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya. (Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan. Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran).” (Al-Ma’arij: 11-17)

No comments:

Post a Comment