Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin  Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan  agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang  bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke  atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid.  Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka  menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang  kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi  pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang  terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia  sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan  sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah  seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua  pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak  muslimin.
Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit  dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan  kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan  golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah  digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan  dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan  yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah  berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari  kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk  menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali  sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak  yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.
Sampai ke saat ini  tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu  Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak  mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka  berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan  seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim,  tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H  dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa  ar-Ridha.
Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu  mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit  Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota.  Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin.  Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh  al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi  pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas  Umawiyyin.
Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara  relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran  keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan  politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang  pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara  sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan  mazhab syi’ah sekarang.
Halwa Telinga
11/01/2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment