Halwa Telinga


11/09/2009

Fenomena Fitnah 2


Kg Air, Bandar Sri Bagawan

ambilan drp blog teman baikku..

Siri II : Pengertian Fitnah

  1. Dari sudut bahasa bermaksud : Ujian. Al-Raghib al-Asfahaniyy berkata: Asal perkataan fitnah ialah memasukkan emas ke dalam api supaya bersih daripada kekotoran. Kemudian perkataan ini digunakan pada memasukkan manusia ke dalam api. Perkataan ini digunakan dengan makna azab, sebagaimana firman Allah: ذوقوا فتنتكم , Maksudnya: "(Dikatakan kepada mereka): "Rasakanlah azabmu itu." (Al-Zariyat: 14), Perkataan ini juga digunakan bagi apa yang terhasil daripada azab yang berlaku, seperti firman Allah: ألا في الفتنة سقطوا Maksudnya: "Ketahuilah mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu)." (Al-Taubah: 49)
  2. Ia juga digunakan untuk ujian, seperti firman Allah: وفتناك فتونا, Maksudnya: "Dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan." (Taha: 40) Ia juga digunakan bagi kesempitan atau kesenangan yang menjadi pendorong kepada manusia. (Fath al-Bari: 3/13)
  3. Manakala maknanya dari segi istilah: Al-Quran menggunakan perkataan fitnah ini dengan dua pengertian: Pertama: Al-Quran menggunakannya sebagai lafaz yang umum, iaitu dengan makna ujian yang menguji seseorang sehingga ia menjadi seorang yang istimewa kerana dapat bertahan bahkan lebih cekal lagi selepas ujian itu. Jadi ia adalah seperti emas bersih selepas dibersihkan dengan api daripada sebarang kekotoran. Ini adalah seperti firman Allah swt kepada Nabi Musa a.s: وفتناك فتونا Maksudnya: "Dan Kami telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai cubaan." (Taha: 40) Kedua: Al-Quran menggunakan perkataan fitnah sebagai lafaz khusus yang dikehendaki dengannya ujian yang menyebabkan orang yang diuji itu gagal, lalu terdedahlah kekotoran dan kepalsuannya. Ini adalah seperti firman Allah: ألا في الفتنة سقطوا Maksudnya: "Ketahuilah mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu)." (Al-Taubah: 49)
  4. Kegagalan atau penyelewengan hasil dari ujian itu mempunyai beberapa peringkat. Di antaranya merupakan penyelewengan daripada thabat di atas manhaj yang lurus. Di antaranya ialah dengan memiliki sifat ragu-ragu dan futur. Di antaranya ialah kurang iltizam dengan jamaah mukminin serta membatalkan bai`ah dengan qiadah mereka. Kadang-kadang fitnah ini sampai kepada peringkat kufur dan syirik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt: وقاتلوهم حتى لا تكون فتنةMaksudnya: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah." (Al-Baqarah: 193)
  5. Fitnah dengan pengertian ini mempunyai beberapa peringkat sebagaimana kufur, syirik dan jahiliyyah juga mempunyai beberapa peringkat. Kadang-kadang perkataan fitnah ini juga digunakan bagi kedua-dua makna tersebut sekaligus, sebagaimana kata-kata Musa a.s: إن هي الا فتنتك تضل من تشآء وتهدي من تشآء Maksudnya: "Itu hanyalah cubaan-Mu, dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki." (Al-A`raf: 155)
  6. Sebagaimana fitnah itu adalah berbentuk individu, iaitu dengan makna mehnah dan bala bencana yang menimpa diri atau hartanya, ia boleh jadi juga menimpa sesuatu jamaah, iaitu menimpa individu-individu yang berada di dalamnya dengan menimpa agama dan aqidah mereka, menjejaskan kadar iltizam mereka dengan jamaah, dan ketundukan serta ketaatan. Inilah pengertian yang diisyaratkan oleh hadis Rasulullah s.a.w. Di dalam sahih al-Bukhari: `Umar bin Hafs bin Ghayyath menceritakan kepada kami, ayah aku menceritakan kepadaku, al-A`mash menceritakan kepadaku, Shaqiq menceritakan kepadaku: "Aku mendengar Huzaifah berkata: "Ketika kami duduk di sisi `Umar, beliau berkata: "Siapakah di antara kamu yang masih ingat sabda Rasulullah s.a.w tentang fitnah?" Huzaifah berkata: "Fitnah seseorang lelaki yang menimpa keluarga, harta, anak dan jirannya akan dapat dihapuskan oleh sembahyang, sedekah dan amar makruf nahi mungkar." `Umar berkata: "Aku tidak bertanya tentang hadis ini, tetapi yang aku maksudkan ialah hadis yang berkenaan fitnah yang diibaratkan sebagai ombak yang bergelombang besar." Huzaifah berkata: "Wahai Amirul Mukminin, engkau tidak perlu bimbang tentangnya, kerana terdapat pintu (halangan) yang terkunci di antara engkau dengannya." `Umar bertanya lagi: "Adakah pintu itu hanya boleh dipecahkan atau hanya perlu dibuka sahaja?" Huzaifah menjawab: "Membukanya hanya dengan memecahkannya sahaja." `Umar berkata: "Jadi pintu itu bukan akan terkunci selama-lamanya." Huzaifah berkata: "Ya, benar." Kami bertanya kepada Huzaifah: "Adakah `Umar tahu tentang pintu itu?" Huzaifah berkata: "Ya, sebagaimana dia mengetahui bahawa sebelum menjelangnya esok pasti akan didahului oleh malam. Ini adalah kerana aku pernah menceritakan kepadanya tentang satu hadis yang tidak berkenaan dengan al-aghalit." Kami ingin untuk tahu siapakah pintu itu, lalu kami menyuruh Masruq bertanya bagi pihak kami dengan berkata kepadanya: "Siapakah pintu itu?" Huzaifah berkata: "Umar."
  7. Fitnah dengan makna inilah yang dimaksudkan di dalam tulisan ini. Oleh kerana kekufuran dan nifaq mempunyai beberapa peringkat, satu peringkat tidak sama dengan peringkat yang lain, maka fitnah -yang merupakan salah satu fenomena atau hasilnya- juga mempunyai beberapa peringkat. Bermula daripada peringkatnya yang paling bawah dengan menyalahi maruah, sehinggalah akhirnya mengenepikan akhlak dan perasaan. Kadang-kadang fitnah ini sampai kepada peringkat maksiat dan penyelewengan, bahkan kadang-kadang bertukar menjadi syirik dan nifaq.
  8. Oleh itu amaran daripada terlibat dengan fitnah dalam peringkatnya yang tinggi dengan sendiri akan membawa kepada menjauhkan diri daripada peringkatnya yang paling bawah. Fitnah dengan segala jenis-jenisnya juga adalah salah satu penyakit yang menimpa hati manusia, sama ada ia berbentuk syubhat atau keraguan yang lahir lantaran kejahilan dan kekurangan ilmu, atau fitnah yang lahir lantaran menurut hawa nafsu yang berdasarkan sangkaan semata-mata.
  9. Oleh kerana itu adalah menjadi kewajipan kita untuk mencari apakah sebab-sebab yang membawa kepada fitnah ketika mengkaji dan mempelajari segala jenis fitnah.
  10. Berdasarkan kepada kaedah keimanan inilah, adalah baik agar pengkajian tentang fitnah dan segala jenisnya yang berlaku di dalam jamaah mukminah, hendaklah dilakukan berdasarkan pengkajian terhadap sejarah Islam, supaya dapat dikenalpasti tentang sebab-sebab, punca-punca, akibat-akibat dan cara-cara penyelesaiannya. Tetapi perlu diingatkan bahawa persamaan atau qiyas yang hendak dilakukan mestilah berbentuk relatif (nisbi), subjektif dan bermetodologi, tanpa dijatuhkan hukuman yang umum terhadap semua yang terlibat dengan fitnah ini dengan kekufuran dan kefasikan, atau dengan meletakkan mereka yang terlibat dengan fitnah ini pada satu peringkat atau dengan satu hukuman sahaja.

Bekas-bekas Hati

  1. Sejak tercipta manusia, Allah menjadikan mereka ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang menyeru ke arah kebaikan dan ada yang menyeru ke arah kejahatan. Setiap orang dipermudahkan untuk melakukan apa yang diciptakan baginya. Manusia jika dihubungkan dengan maksiat adalah berbeza-beza, sebagaimana mereka juga berbeza-beza ketika dihubungkan dengan ketaatan. Begitu juga manusia adalah berbeza-beza peringkatnya dalam hubungan mereka dengan fitnah yang merupakan salah satu maksiat dan salah satu fenomena bid`ah.
  2. Orang yang berjaya ialah orang yang ditaufiqkan oleh Allah untuk menjauhi dan memeranginya, atau paling kurang tidak terlibat dengannya. Orang yang celaka ialah orang yang terlibat dengannya dan orang yang lebih celaka lagi ialah orang yang mendokongnya.
  3. Setiap amal kebaikan mahupun kajahatan ada orang yang mendokongnya dan menjadi pembuka pintunya. Ibnu Majah meriwayatkan satu hadis daripada Anas bin Malik, sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Ada di kalangan manusia yang menjadi pembuka kebaikan dan pengunci kejahatan, dan ada yang (sebaliknya) menjadi pembuka kejahatan dan pengunci kebaikan. Maka berbahagialah mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kebaikan dan celakalah bagi mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kejahatan."
  4. Di antara perkara yang boleh difahami daripada hadis ini ialah bahawa kebaikan dan kejahatan tidak berlaku melainkan dengan hasil usaha dan kerja manusia. Usaha dan kerja tersebut diketuai sama ada oleh seorang yang mendapat taufiq dari Allah yang memimpin manusia ke arah pintu-pintu kebaikan dan mengunci pintu-pintu kejahatan. Atau ia diketuai oleh seorang yang celaka yang membuka pintu kejahatan dan mengunci pintu kebaikan. Di antara mereka berdua terdapat ramai lagi manusia yang berada di dalam berbagai-bagai peringkat. Pelopor kebaikan mempunyai satu kumpulan yang belajar dan tunduk kepada kebaikan. Manakala orang ramai hanya menjadi pengikut kepada siapa sahaja yang boleh mempengaruhi mereka. Oleh itu adalah perlu agar kita berwaspada dan tidak tertipu dengan hasutan mereka dari satu sudut.
  5. Manakala dari satu sudut lagi kita hendaklah sentiasa berusaha agar mereka tidak boleh dipengaruhi oleh para penyeru kejahatan dan fitnah. Berkenaan perkara ini, Ali bin Abi Talib berkata: "Sesungguhnya hati-hati ini adalah bekas. Bekas yang paling baik ialah bekas yang amat memelihara kebaikan. Manusia tergolong ke dalam tiga golongan; alim yang rabbani, penuntut yang mencari jalan keselamatan dan orang yang tidak berperaturan mengikut setiap kata-kata yang dihamburkan, tidak menimbangnya dengan cahaya ilmu dan berpegang dengan dasar yang kukuh... Amatlah celaka bagi pendukung kebenaran yang tidak mempunyai penglihatan. Dia akan merasa ragu terhadap kebenaran yang dibawanya walaupun disebabkan oleh keraguan yang amat remeh. Dia tidak mengetahui di mana letaknya kebenaran sehingga dia boleh mengatakan -ketika ada orang melakukan kesalahan- bahawa anda telah tersilap, atau ketika dia sendiri melakukan kesilapan, dia tidak menyedarinya. Dia amat mengambil berat dengan sesuatu yang dia tidak fahami hakikatnya. Dia sendiri adalah fitnah bagi sesiapa yang terfitnah dengannya... (Al-I`tisam, karangan al-Shatibiyy: 2/358)
  6. Kata-kata ini bermaksud bahawa sesiapa yang tidak memiliki kefahaman dakwah yang sempurna yang membolehkannya untuk membuka pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan, maka dia adalah salah seorang pengikut yang hanya mengikut setiap kata-kata atau pendapat yang diketengahkan. Dia hanyalah penyeru ke arah fitnah atau kayu api kepada bara fitnah. Bahkan akhirnya dia menjadi mangsa fitnah itu sendiri.


Bersambung : Bisikan... Permulaan Fitnah

No comments:

Post a Comment