Syi’ah juga telah memasukkan fahaman yang berasal dari ajaran Parsi mengenai  masalah mentaqdis (memuja) ahli keluarga pemerintah. Mereka mendakwa imam-imam  adalah maksum dan semua imam-imam yang telah disenaraikan nama-nama mereka itu  terpelihara dari kesalahan dan dosa. Natijahnya mereka mengambil kata-kata imam  itu seperti al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bahkan kebanyakan kaedah-kaedah fiqh  dan asas-asas perundangan mereka sekarang adalah berlandaskan kata-kata  imam-imam mereka, sama ada kata-kata itu benar-benar pernah dilafazkan oleh  imam-imam itu atau dinisbahkan kepada mereka secara palsu. Dan lebih daripada  itu, al-Khomaini, pemimpin revolusi Iran telah menulis di dalam kitabnya  ‘Al-Hukumah al-Islamiyyah” (kerajaan Islam): “…. Sesungguhnya antara asas  penting dalam mazhab kita ialah: bagi imam-imam kita maqam (kedudukan) yang  tidak dicapai oleh malaikat muqarrabin dan tidak dicapai oleh nabi yang mursal  (yang diutus)!! Mereka sangat memusuhi semua sahabat (kecuali segelintir yang  bilangannya tidak lebih dari 13 orang). Permusuhan ini termasuklah terhadap  sebahagian daripada ahli bait seperti al-‘Abbas bapa saudara Rasulullah s.a.w.  dan puteranya Abdullah bin al-‘Abbas r.a. Dan sebab mereka memusuhi dan  mengkafirkan dua beranak ini adalah perselisihan antara kumpulan Ithna  ‘Asyariyyah dengan khilafah al-‘Abbasiyyah.
Antara bid’ah mereka juga,  mereka menghukum kebanyakan negeri-negeri Islam sebagai negeri kafir. Mereka  mengkafirkan penduduk Mekah dan Madinah, Syam dan Mesir. Mereka mengeluarkan  kata-kata yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan menganggapnya sebagai  sebahagian daripada agama. Kata-kata ini terdapat di dalam sumber rujukan mereka  yang asli seperti al-Kafi, Bahr al-Anwar, Tafsir al-Qummiy, Tafsir al-‘Ayyasyi,  al-Burhan dan lain-lain.
Ekoran dari itu mereka menolak semua ulamak  sunnah. Mereka menolak kitab-kitab hadis dan sunnah yang sahih. Bagi mereka,  tiada Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, dan an-Nasaei. Tiada Abu Hanifah, Malik,  asy-Syafiei atau Ahmad bin Hanbal. Demikian juga, tidak ada pada mereka Khalid  bin al-Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar bin Abdul Aziz, Musa bin Nusair,  Nurud-Din Mahmud, Salahud-Din, Qataz, Muhammad al-Fatih dan  sebagainya.
Oleh kerana mereka telah menolak sahabat r.a., at-Tabi’in,  kitab-kitab hadis dan tafsir, maka mereka berpegang dengan kata-kata yang  nisbahkan kepada imam-imam mereka. Kata-kata itu dari segi periwayatannya  amat-amat lemah. Lantaran itu juga lahir di kalangan mereka bid’ah–bid’ah yang  munkar dengan begitu banyak sekali sama ada dalam bab akidah, ibadah, muamalah  dan lain-lain. Bukan tujuan kita di sini untuk menghitung bid’ah mereka kerana  itu memerlukan penulisan yang berjilid-jilid. Tujuan kita hanya sekadar untuk  menunjukkan punca masalah sahaja agar senang bagi kita memahami natijah  daripadanya. Sesungguhnya bid’ah yang dicetuskan oleh mereka tidak terhitung  banyaknya. Antaranya taqiyyah, raj’ah, tuduhan yang mengatakan al-Quran  diselewengkan, upacara memperingati hari syahidnya al-Husain bin Ali dan banyak  lagi.
Apa yang diperkatakan di atas adalah sebahagian daripada fikrah  firqah Ithna ‘Asyariyyah. Di sana terdapat banyak lagi firqah yang muncul pada  masa itu, khususnya masa yang dikenali sebagai ‘hirah asy-syi’ah’ (kebingungan  syi’ah) yang bermula pada pertengahan kurun ke tiga hijriyyah, selepas kewafatan  al-Hasan al-‘Askariy (Imam mereka yang ke 12)
Bermula dari zaman itu  lahirlah kitab-kitab dan karangan-karangan yang ditulis untuk memperteguhkan  fikrah dan akidah mereka. Fahaman mereka tersebar dengan meluasnya di negeri  Parsi khasnya dan di negeri-negeri Islam lain amnya. Namun tidak ada negara yang  didirikan pada masa itu menjadikan fikrah ini sebagai asas kerajaannya secara  rasmi. Tetapi pada akhir kurun ke 13 hijriyyah dan permulaan kurun ke 14, dengan  beberapa kejadian dan perkembangan yang berlaku mereka dapat telah sampai ke  tampok pemerintahan di sesetengah negara umat Islam.
Dipetik dari tulisan  Dr. Ragheb ElSergany
Pengendali laman web: www.islamstory.com
Ambilan :http://zaadut-taqwa.blogspot.com/2009/07/asal-usul-syiah.html
Halwa Telinga
11/01/2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment